Tuesday 11 September 2012

BORANG PENDAFTARAN KE TABIKA KEMAS

 Tuan / Puan / Saudara / Saudari yang berminat untuk menghantar anak-anak ke TABIKA KEMAS, boleh lah mencetak borang yang dilampirkan di sini dan mengisi dengan lengkap beserta dokumen yang diperlukan. Borang perlu dikembalikan ke TABIKA KEMAS yang berhampiran.

CERIA, CERDIK, CERGAS





PENDAFTARAN KE TABIKA KEMAS TELAH DIBUKA

 
Untuk makluman Tuan / Puan / Saudara / Saudari, Pendidikan Pra-Sekolah di TABIKA KEMAS menggunakan tenaga pengajar yang terlatih dan berpengalaman. Kami menawarkan pendidikan kepada kanak-kanak berusia 4 hinga 6 tahun dan memberikan keutamaan kepada kanak-kanak yang mendaftar awal. Ibubapa dan Penjaga juga tidak perlu gusar kerana TABIKA KEMAS juga menggunakan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK), Kementerian Pelajaran Malaysia yang memberi penekanan kepada Pendidikan Interaktif yang merangkumi :

  1. Bahasa dan Komunikasi ( Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris )
  2. Perkembangan Kognitif
  3. Kerohanian dan Moral ( Pendidikan Islam, Pendidikan Moral)
  4. Perkembangan Sosioemosi
  5. Perkembangan Fizikal
  6. Kreativiti dan Estetika (Program Kemahiran Keibubapaan, Program Pengukuhan dan Pengkayaan, Kokurikulum (Sukan/Bakat,Belajar Muzik, Mengaji, Lawatan Sambil Belajar)).
Selain itu, baju dan buku aktiviti akan diberikan secara percuma kepada mereka yang layak. Makanan Tambahan yang berkhasiat juga diberikan kepada anak-anak TABIKA KEMAS.

Pendidikan awal adalah HAK ANAK-ANAK. Oleh itu, pendaftaran ke TABIKA KEMAS bagi sesi 2013 telah dibuka sehingga bulan November 2012. Borang pendaftaran boleh diperolehi di TABIKA KEMAS yang berhampiran atau dari laman sesawang KEMAS iaitu http://www.kemas.gov.my 


Monday 10 September 2012

Aktiviti Yang Dijalankan Di TABIKA KEMAS

Kokurikulum Mingguan:

  • Masa – 2 jam seminggu (1 jam setiap sesi selepas waktu kelas)
  • Aktiviti :
  • Kelas Fardhu Ain/Iqra’
  • Kelas Bahasa Inggeris
  • Kompang/Percussion
  • Seni mempertahankan diri
  • Seni Tari/senamrobik   : 

 Kokurikulum Tahunan :

  • Hari Potensi/Hari Kecemerlangan
  • Hari Sukan/Sukaneka/gotong royong
  • Lawatan Pendidikan/3K


Aktiviti dan Penglibatan ibu bapa

Ibu bapa digalakkan melibatkan diri secara aktif melalui kerjasama yang erat sebagai rakan kongsi dengan Tabika bagi tujuan meningkatkan kualiti dan kecemerlangan pendidikan anak-anak. Ibu bapa digalakkan terlibat dalam aktiviti-aktiviti seperti berikut :-
  • Pendidikan
    Membantu memperkukuhkan pendidikan anak-anak di rumah supaya terdapat kesinambungan pendidikan antara Tabika dan rumah, termasuk membantu membina bahan bantu mengajar untuk guru.
     
  • Pendidikan Keibubapaan
    Bengkel dan kursus untuk ibu bapa yang dianjurkan oleh Tabika untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran ibu bapa berkaitan pendidikan awal kanak-kanak.
     
  • Aktiviti Kokurikulum
    Membantu guru dalam aktiviti kokurikulum, pelaksanaan Hari Potensi, sukaneka, penyampaian sijil dan lain-lain aktiviti yang bersesuaian dengan masyarakat setempat.
     
  • Aktiviti Keindahan, Keselamatan dan Kebersihan Tabika
    Bersama dengan Ahli Jawatankuasa Tabika meningkatkan keindahan, keselamatan dan kebersihan dan keceriaan Tabika melalui aktiviti gotong-royong, sumbangan kewangan dan bahan untuk mengindahkan lanskap, menganjurkan kempen-kempen bulanan seperti Kempen Kebersihan, Menabung dan lain-lain.

Pengurusan, Pengelolaan dan Pemantauan

Pengurusan, pengelolaan dan pemantauan Tabika ialah tanggungjawab dan kerjasama erat antara KEMAS dan masyarakat.
  • Pemaju Masyarakat/guru Tabika
    Bertanggungjawab dalam pengajaran dan pembelajaran, pengurusan aktiviti kokurikulum dan aktiviti penglibatan ibu bapa.

  • Pembantu guru Tabika
    Bertanggungjawab menyediakan makanan tambahan, menjaga kebersihan dan keceriaan kelas dan membantu guru dalam pengajaran dan pembelajaran.

  • Jawatankuasa Tabika
    Bertanggungjawab dalam pengurusan dan pentadbiran Tabika, aktiviti kokurikulum dan aktiviti penglibatan masyarakat.

  • Penyelia Prasekolah
    Membuat pemantauan pelaksanaan Tabika di peringkat parlimen.

Pendekatan Yang Digunakan Dalam Pengajaran & Pembelajaran

Pemaju Masyarakat/guru Tabika KEMAS menggunakan pelbagai pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan tahap perkembangan diri, keperluan, kebolehan, bakat dan minat serta latar belakang kanak-kanak. Tujuannya ialah untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih bermakna, berkesan dan mengembirakan.
Pendekatan pengajaran dan pembelajaran adalah berasaskan konsep dan prinsip pendidikan prasekolah iaitu :-

 
  1. Belajar Melalui Bermain
    Proses pengajaran dan pembelajaran yang mengembirakan, meningkatkan keupayaan kognitif, keinginan untuk meneroka bagi memenuhi perasaan ingin tahu, kemahiran motor kasar dan halus, kemahiran berfikir secara inovatif, kritis dan kreatif serta membantu mengatasi perasaan bimbang dan tertekan. Pengalaman pembelajaran akan memberi kesan yang bermakna dan penguasaan kemahiran akan terbina dan membantu perkembangan ke tahap yang maksima. 

  2. Bertema
    Pengajaran dan pembelajaran melalui satu tema atau topik yang dipilih bersesuaian dengan masa, tempat, minat dan latar belakang kanak-kanak dijadikan sebagai alat untuk menguasai sesuatu kemahiran seperti bertutur, membaca, menulis, asas matematik dan berfikir di samping memberi peluang kanak-kanak meluaskan pengetahuan melalui tema yang dipilih.

  3. Bersepadu
    Proses pengajaran dan pembelajaran ini membantu kanak-kanak memahami hakikat kehidupan sebenar yang saling berkaitan antara satu sama lain dan bukannya sesuatu yang terpisah-pisah. Ini akan menyediakan kanak-kanak mendalamai atau meneroka sesuatu topik, banyak pilihan dan motivasi, menimbulkan kepuasan belajar, pembelajaran lebih aktif, menggembirakan, bermakna, meningkatkan daya imaginasi, kreatif, kemahiran berbahasa dan nilai murni.

  4. Teknologi Maklumat dan Komunikasi
    Membantu proses pengajaran dan pembelajaran, memperolehi maklumat, berinteraksi dengan bahan untuk belajar sendiri dan dengan rakan serta memperkaya pengalaman pembelajaran.
Pengelolaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran ini dikelolakan secara kelas, kumpulan dan individu yang dijalankan secara terancang.
 

Penilaian dan Rekod Perkembangan Kanak-kanak

Pemaju Masyarakat/guru Tabika akan membuat penilaian melalui proses pengumpulan maklumat perkembangan dan kemajuan kanak-kanak secara berterusan. Penilaian adalah sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran yang bertujuan mengenal pasti pelbagai kecerdasan dan potensi untuk dipertingkatkan serta pengukuhan.

Hasil penilaian membolehkan guru mengambil tindakan susulan yang berkesan bagi mengembangkan potensi kanak-kanak. Rekod kesihatan dinilai dengan kerjasama Jabatan Kesihatan di peringkat daerah yang membuat pemeriksaan fizikal dan gigi secara berkala di Tabika.

Pengajaran & Pembelajaran Dalam Pendidikan Pra-Sekolah (TABIKA)

Kurikulum

Tabika KEMAS mengguna pakai Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) yang telah diwajibkan pengunaanya pada 1 Januari 2010 mengikut Akta Pendidikan 1996 (Pindaan 2002) yang digubal oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Kanak-kanak yang belajar di Tabika KEMAS akan belajar mengikut 6 Tunjang Pembelajaran yang dilaksanakan secara bersepadu iaitu :-
i). Komunikasi
ii). Kerohanian, Sikap dan Nilai
iii). Kemanusiaan
iv). Keterampilan diri
v). Perkembangan Fizikal dan Estetika
vi). Sains dan Teknologi

Tempoh Masa 

Tempoh pengajaran dan pembelajaran di Tabika KEMAS adalah 4 jam mulai jam 7.30 pagi hingga 11.30 pagi atau 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari.

Selain itu, KEMAS turut melaksanakan tambahan masa 2 jam       (1 jam bagi setiap sesi) seminggu selepas waktu pengajaran dan pembelajaran untuk menjalankan aktiviti kokurikulum seperti kelas fardhu ain dan iqra’, Bahasa Inggeris, Muzik, Seni mempertahankan diri atau senaman dan seni tari mengikut keperluan. 

Objektif Pendidikan Pra Sekolah

  1. Menggalakkan perkembangan Sosial, Emosi, Fizikal, Intelek dan Rohani (SEFIR) kanak-kanak melalui pelbagai pendedahan dan interaksi ;
     
  2. Menyedia dan mengembangkan kemahiran asas 4M (Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul) sebagai persediaan ke alam persekolahan ;
     
  3. Meluaskan pengalaman, peluang belajar dan mengembangkan potensi individu kanak-kanak melalui pengajaran dan pembelajaran yang terancang, sesuai dengan peringkat umur, kemampuan, kebolehan dan minat kanak-kanak ;
     
  4. Membentuk sifat peribadi, perwatakan dan konsep diri yang positif untuk menjadi warganegara yang patriotik ;
     
  5. Memupuk dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian, kreatif dan mengembangkan sifat ingin tahu ; dan
     
  6. Menggalakkan kecerdasan dan kemahiran fizikal serta amalan kesihatan, kebersihan dan keselamatan yang baik melalui makanan tambahan yang seimbang, aktiviti fizikal dan rutin harian.

Apa Itu Pendidikan Pra-Sekolah TABIKA?

Program pendidikan awal kanak-kanak yang dianjurkan oleh KEMAS dikenali sebagai Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) merupakan program yang memberi peluang pendidikan awal bagi kanak-kanak yang  berumur 4 hingga 6 tahun.  



Konsep Tabika KEMAS ialah ‘Belajar Melalui Bermain’ yang diselaraskan dengan sifat semulajadi kanak-kanak iaitu bermain, ingin tahu dan mencuba. Konsep tersebut kemudiannya diperluaskan kepada menguasai kemahiran 4M (Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul).
Konsep ini bertujuan untuk memberi peluang dan galakan kepada kanak-kanak menguasai kemahiran asas dan pengalaman yang akan memudahkan mereka menerima pendidikan formal di sekolah rendah kelak.

Disamping itu, ia juga bagi meningkatkan kecemerlangan potensi individu kanak-kanak secara menyeluruh, seimbang dan bersepadu. Pengetahuan dan kemahiran kanak-kanak ditingkatkan dengan pemupukan dan pengukuhan kepada amalan nilai-nilai murni melalui usaha-usaha dan program yang terancang dan berstruktur.

Usaha ini bertujuan melahirkan pewaris cemerlang negara yang dibimbing dan dididik dalam suasana dan persekitaran yang sihat, ceria dan selamat di samping kerjasama erat dengan ibu bapa.